Oleh : Khartini Hamir / Foto : Haji Ariffin Md. Noor / Morshidi, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Sabtu, 14 Jun. – Penerbangan kedua jemaah haji Negara Brunei Darussalam (NBD) yang menggunakan Pesawat Diraja Brunei (RB) BI4224 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) pada jam 4.59 petang tadi.
Jumlah keseluruhan jemaah haji termasuk para pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji NBD (Perubatan), Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB), Syarikat Al-Hijrah Travel and Tours Sdn. Bhd., dan Syarikat Dar El-Ehsan Travel Sdn. Bhd. ialah seramai 251 orang.
Mengiringi jemaah haji bagi penerbangan kedua ialah pegawai-pegawai dari Pejabat Urusan Jemaah Haji NBD (Perubatan) seramai tiga orang, DSSB seramai 85 orang, pegawai Syarikat Al-Hijrah Travel and Tours Sdn. Bhd. seramai 120 orang, dan pegawai Syarikat Dar El-Ehsan Travel Sdn. Bhd. seramai 43 orang.
Hadir mengalu-alukan ketibaan jemaah haji NBD di LTAB, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Datin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB); dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke NBD, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah H. Al Buraithin.
Juga hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Datin; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, DCP Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin dan Datin; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Awang Haji Muhammad Fakhri bin Haji Mohd. Taib; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan isteri; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar dan isteri; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abd. Karim dan isteri; serta Ahli-ahli Jemaah Penasihat Haji, pengarah-pengarah dan penolong-penolong pengarah KHEU.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Awang Haji Fansuri Sharimi @ Mansur bin Mohamad Ali.